Mencari Penaja Ijazah Sarjana Pengurusan Keselamatan Industri.

Universiti Kebangsaan Malaysia
Tiba-tiba rasa ingin menyambung pelajaran ke ijazah sarjana memuncak. Dua kali perasaan nak menyambung pelajaran ini memuncak. Akhir sekali dalam tempoh dua minggu lepas.
Hajat nak sambung dalam bidang keselamatan dan kesihatan. Bidang yang baru aku terokai kat kilang baru aku di kawasan Pelabuhan Klang ini. Setelah dua tahun menjadi jurutera di kilang sawit, akhirnya aku dibawa ke bidang yang tidak pernah aku pelajari secara khusus. Hanya sedikit ilmu semasa di kilang sawit di Segamat dahulu.
Setelah aku mencari peluang pelajaran dalam bidang ini banyak maklumat yang aku terima. Antara yang paling menarik perhatian ialah Master in Industrial Safety Management yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.
Antara sebab utama aku tertarik ialah kursus ini seperti mendapat ‘sentuhan’ dari pihak JKKP. Kelebihannya pelajar dalam bidang ini boleh terus mendaftar sebagai orang kompeten dalam Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan tidak perlu pengalaman tiga tahun sebagai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Bukan kelebihan ini yang aku harapkan, tetapi keistimewaan subjek yang diajar sehingga mendapat layanan istemewa daripada JKKP. Tetapi aku tidak pasti sama ada lulusan ijazah ini dikecualikan daripada peperiksaan berkaitan dan juga interviu dengan pegawai JKKP. Kalau dikecualikan…… Alhamdulillah
Setelah panggilan telefon aku ke UKM tidak berjawab dan seminggu menunggu pertanyaan aku di wall Facebook Pusat Kembangan UKM yang juga tidak berbalas, aku teruskan pencarian nombor telefon lain ke UKM dan dengan jayanya menembusi talian 03-89213895 setelah cubaan pertama pada talian 03-89213764 tidak berjaya diangkat warga UKM.
Setelah bersoal jawab maklumat yang aku terima agak mengecewakan.
Master in Industrial Safety Management ditawarkan oleh dua pihak di UKM; Pusat Pengajian Siswazah, UKM dan Pusat Kembangan UKM. Kursus dan isi yang sama tetapi kulit yang berbeza.
Pusat Pengajian Siswazah, UKM: Bayaran yuran kursus yang murah, iaitu sekitar +-RM1600 setiap semester dan pengajian adalah selama 3 semester dan jumlah keseluruhan ialah sekitar +-RM4800 sahaja. Sangat Agak murah bagi aku.
Pusat Kembangan, UKM: Bayaran yuran kursus yang sangat mahal, iaitu RM23,500 untuk bayaran penuh kursus.
Persoalan sekarang ialah kenapa jumlah yang sangat jauh bezanya?
Pusat Pengajian Siswazah, UKM mengadakan kelas pengajian kursus pada hari dan waktu pejabat bergantung kepada kelapangan pensyarah. Maksudnya kelas akan diadakan pada waktu aku sedang bekerja. Bermakna kelas seperti ini tidak sesuai untuk golongan macam aku. Golongan pekerja. Ada gaji tapi masih mahu belajar dengan kos yang murah rendah.
Sesuai dengan kosnya yang amat tinggi kelas yang dianjurkan Pusat Kembangan, UKM diadakan pada hujung minggu, iaitu Sabtu dan Ahad dan semestinya khusus kepada golongan pekerja yang tak sama macam aku. Golongan pekerja yang mampu untuk menampung kos pengajian yang amat tinggi. Waaaarrrrgggghhhhh……..
Sekarang masa untuk aku terus mencari mana-mana peluang melanjutkan pelajaran di universiti lain
. Terpaksalah melupakan UKM…..
Atau ada Tan Sri, Dato’ Seri, Dato’, Jutawan, Billionwan yang nak menaja pengajian aku?
